MATI SELEPAS SUNTIKAN KECANTIKAN
sumber: Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 25 Mac - Impian seorang ibu tiga anak untuk memiliki potongan badan menarik bertukar menjadi tragedi apabila dia maut dipercayai selepas mendapat suntikan bagi rawatan kecantikan.
Allahyarham Noraini Mohd. Ghazali, 30, pengarah urusan syarikat pembekal peralatan makmal yang memiliki raut wajah cantik dengan berat badan 45 kilogram meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang semalam di sebuah klinik swasta di Ampang dekat sini yang menyediakan rawatan kecantikan wajah dan badan.
Suaminya, Zaharudin Zainuddin, 35, memberitahu, isterinya telah menerima rawatan di klinik terbabit sebanyak 14 kali sejak bulan Disember 2007.
''Kali terakhir arwah ke klinik itu adalah bagi membuang lemak serta susulan selepas melakukan rawatan menegangkan bahagian punggungnya.
''Arwah tidak banyak bercerita mengenai rawatan kecantikan tersebut. Bagaimanapun, berat badannya dilihat berkurangan iaitu daripada berat asal lebih kurang 50 kilogram ke 45 kilogram,'' katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.
Kata Zaharudin, sejak kebelakangan ini, isterinya mengadu sakit serta memaklumkan ada benang tertinggal dalam perut ketika menjalani rawatan terapi buang lemak di klinik terbabit.
Sehubungan itu, dia menasihati isterinya supaya berhenti melakukan rawatan terapi itu yang mencecah kos RM1,000 bagi setiap kali sesi.
Sementara itu, kakak angkat kepada mangsa, Misha Abu Bakar, 46, berkata, dia menemani Noraini ke klinik terbabit pada pukul 3 petang hari kejadian untuk temu janji dengan doktor.
''Saya hanya menunggu arwah di tingkat bawah sahaja kerana kebiasaannya sesi terapi itu tidak mengambil masa yang lama.
''Bagaimanapun, setelah lebih tiga jam menunggu, Noraini tidak muncul sebaliknya doktor tersebut meminta saya masuk ke pejabatnya sebelum memaklumkan arwah meninggal dunia pada pukul 5 petang selepas muntah-muntah.
''Doktor itu memberitahu kejadian itu berlaku selepas ubat bius disuntik dan ia prosedur biasa sebelum rawatan buang lemak dilakukan,'' katanya.
Misha menambah, dia berasa kecewa kerana doktor berkenaan mengambil masa lama untuk memaklumkan kepadanya yang menunggu di bawah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hasan mengesahkan kejadian tersebut dan telah mengambil keterangan doktor dan jururawat yang bertugas hari kejadian untuk membantu siasatan.
''Setakat ini, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut, bagaimanapun siasatan diteruskan ke atas kecuaian doktor sama ada telah mengenal pasti alahan pesakit sebelum rawatan diberi.
''Bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur telah selesai, bagaimanapun sampel-sampel tisu mayat telah dihantar ke makmal kimia untuk siasatan lanjut sebelum keputusan bedah siasat diketahui.
''Keputusan akan diketahui dalam masa lebih kurang empat minggu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Datuk Mohamad Yacob ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menyemak lesen perniagaan premis terbabit dan mendapati ia diperakui dan sah.
p/s takziah kepada keluarga mangsa....Bersyukurlah dengan kecantikan yang Allah berikan kepada kita....everything happens for a reason...
3 comments:
Tu lah Cik Joyah... saya bersyukur walaupun hudung saya penyek, sebab masih ada dua lubang dengan timbul ke depan.
MasyaAllah, teringat dengan firman Allah s.w.t "Sekiranya kamu bersyukur, akan aku tambah lagi (nikmatku) kepadamu, sekiranya kamu kufur, maka ingatlah, azabku amatlah pedih. - Surah Ibrahim.
tulah...takut..doakan roh beliau dicucuri rahmat...amin
ish takutnyer.. ni la akibatnya tak bersyukur... tp rasanya2 kat msia teknologi tak berapa canggih kot. kat sini ramai jer org wat pembedahan plastik kat seluruh bdn. pipi la, hidung la, mulut la mata la.. macam2...
Post a Comment