Sempena menyambut Maulidur Rasul ini, ingin dikongsi kisah kehidupan Nabi Muhammad s.a.w yang sangat menyentuh hati aku.....mampukah kita untuk menjalani kehidupan seperti yang diamalkan oleh Baginda??....fikir-fikirkanlah...
KEHIDUPAN Nabi Muhammad s.a.w. sangat sederhana. Pada suatu hari Baginda sedang berehat di rumahnya sambil berbaring di atas tikar yang diperbuat daripada daun-daun tamar.
Tiba-tiba, seorang sahabatnya yang bernama Ibn Mas`ud datang menziarahi Baginda.
Oleh kerana pada masa itu Rasulullah tidak memakai baju, maka Ibn Mas`ud melihat bekas anyaman tikar itu melekat di tubuh Baginda.
Melihat keadaan yang demikian, Ibn Mas`ud bersedih dan menitiskan air mata. Beliau berkata di dalam hatinya: Tidak patut seorang kekasih Allah, seorang pemimpin negara dan seorang panglima tentera hidup dengan cara demikian.
Ibn Mas`ud pun berkata: ``Ya Rasulullah, bolehkah saya membawakan tilam ke sini untuk Tuan?''
Rasulullah menjawab, ``Wahai Ibn Mas`ud, apalah erti kesenangan hidup di dunia ini bagiku.
"Hidup di dunia ini bagiku bagaikan seorang musafir dalam perjalanan jauh, lalu dia singgah sebentar berteduh di bawah pohon kayu yang rendang untuk berehat.
" Kemudian dia harus berangkat meninggalkan tempat itu untuk meneruskan perjalanan yang sangat jauh dan tidak berpenghujung.''
Dalam suatu peristiwa lain pula, ialah ketika Rasulullah menikahkan puterinya, Fatimah dengan Ali bin Abi Talib.
Pada masa itu Baginda menjemput Abu Bakar, Umar dan Usamah untuk membawakan `persiapan' Fatimah.
Mereka tertanya-tanya apakah yang disiapkan oleh Rasulullah untuk puteri tercinta dan menantunya yang tersayang itu?
Ternyata, Rasulullah hanya menyiapkan gandum yang telah digiling, kulit binatang yang disamak, cerek dan sebiji pinggan.
Apabila mengetahui hal itu, Abu bakar menangis.
" Ya, Rasulullah, hanya inikah persiapan untuk Fatimah?'' tanya Abu Bakar tersedu-sedan.
" Ini sudah cukup bagi orang yang berada di dunia,'' jawab Rasulullah menenangkannya.
Kemudian Fatimah keluar dari rumah dengan memakai pakaian pengantin yang cukup bagus, tetapi mempunyai 12 tampalan! Tiada perhiasan yang berharga mahal.
Setelah bernikah, Fatimah sentiasa menggiling gandum, membaca al-Quran, mentafsirkan kitab suci dengan hatinya, dan menangis. Itulah sebahagian daripada kemuliaan diri Fatimah.
Majlis pernikahan puteri Rasulullah itu memang sederhana kerana kesederhanaan adalah sebahagian kehidupan Rasulullah sendiri.
Sebenarnya, Baginda mampu membuat majlis besar-besaran untuk pernikahan puterinya itu dengan meminta bantuan para sahabat yang kaya.
Namun, sebagai manusia agung, `kemegahan' tidaklah bermakna kebendaan.
Rasulullah ingin menunjukkan kesederhanaan dan sifat qanaah (puas hati), yang merupakan kekayaan yang hakiki.
Baginda pernah bersabda: "Kekayaan yang hakiki adalah kekayaan iman dan dicerminkan dalam sifat qanaah.''
Bersifat qanaah bererti menerima ketentuan Allah dengan sabar, dan menarik diri daripada kecintaan kepada dunia.
Iman, kesederhanaan dan qanaah adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan.
Seorang mukmin akan bersikap sederhana dalam hidupnya, dan kesedehanaan itu ditunjukkan daripada sifat qanaahnya.
Rasulullah s.a.w. bersabda: ``Qanaah adalah harta yang tidak akan hilang dan simpanan yang tidak akan lenyap.''
0 comments:
Post a Comment